Pegawai penguatkuasa didakwa bunuh suspek kes dadah

0
2
grafik

SEORANG pegawai agensi penguatkuasa kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini atas pertuduhan membunuh.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata lelaki berusia 33 tahun itu didakwa susulan satu kejadian melibatkan kematian seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun di Taman Lamabaian Jerai, Guar Chempedak, Gurun.

Menurutnya, kejadian itu berlaku semasa sepasukan penguatkuasa agensi kerajaan menjalankan pemeriksaan dan tangkapan berkaitan kes dadah.

“Pihak polis telah menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya yang kemudian dipersetujui untuk pertuduhan di mahkamah hari ini.

“Polis menasihatkan agensi penguatkuasa supaya lebih berhati-hati dan memastikan tangkapan yang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai.

Media sebelum ini melaporkan polis mengklasifikasikan kes kematian seorang lelaki yang cedera ketika ditahan pegawai sebuah agensi penguatkuasa di Kuala Muda, Kedah, pada 18 Julai lalu, sebagai kes bunuh.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, pegawai agensi terbabit menangkap suspek berusia 24 tahun mengikut Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.

Polis kemudian menerima laporan pada 19 Julai lalu, dari seorang wanita yang tidak berpuas hati terhadap proses tangkapan terhadap adik lelakinya yang dibuat pegawai agensi penguatkuasa berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan suspek kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada 20 Julai lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here