SERAMAI 485 guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah diarah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi program khas di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, esok.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya sudah mengeluarkan arahan itu kepada semua individu berkenaan, lapor Utusan Malaysia.
Beliau menegaskan, JAIS tidak bertindak kejam kerana masih memberi ruang dan masa kepada kesemua individu terbabit sebelum ini.
“Namun, jika alasan mereka tidak dapat diterima untuk mengambil vaksin, maka tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Berikutan itu, beliau menasihatkan semua guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah berkenaan supaya hadir mendapatkan suntikan vaksin.
Pada 2 September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir rakyat Selangor yang menolak vaksin Covid-19 dan menyifatkannya sebagai satu usaha yang boleh menggagalkan usaha mencapai imuniti kelompok.
Seramai 562 orang di negeri itu dikenal pasti enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun kempen pemberian vaksin galak dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Daripada jumlah itu, dalam sektor pendidikan seramai 268 adalah guru sekolah kebangsaan, sekolah menengah (182) dan guru Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) (95). Bagi kategori guru KAFA, seramai 326 orang dikenal pasti belum menerima suntikan vaksin.
Sementara dalam sektor pengurusan agama Islam pula, 17 orang dilapor enggan menerima vaksin mereka adalah pegawai masjid (11 orang) serta jurunikah (6 orang) dan dalam sektor itu juga dilaporkan seramai 20 orang belum menerima suntikan.
Baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang bertitah, akan mengambil tindakan terhadap mereka enggan berbuat demikian kerana khuatir sejumlah besar kematian di negeri ini adalah dalam kalangan bukan penerima vaksin. – Malaysiapost

