POLIS menyelamatkan enam wanita warga Vietnam yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks, dalam serbuan di dua lokasi sekitar Johor Bahru, kelmarin.
Serbuan jam 10.30 malam itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah D13 Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zarin, berkata dalam serbuan itu turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 53 dan 56 tahun.
“Enam wanita Vietnam yang diselamatkan berusia 25 hingga 29 tahun disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas pelbagai peralatan iaitu kad akses rumah, telefon bimbit, kondom, kereta, resit hotel dan wang tunai RM998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek yang ditahan mendapati negatif dan kedua-duanya kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kesemua mangsa telah dipohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari dan dihantar ke rumah perlindungan sementara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda,” katanya. – Malaysiapost

