
KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan dakwaan kawalan fasiliti dan terminal kargonya longgar, menyebabkan usahawan kosmetik Nur Sajat meloloskan diri ke Thailand menggunakan gerabak kereta api di Padang Besar, Perlis.
Bagaimanapun KTMB dalam kenyataannya menegaskan, siasatan dalaman sedang dijalankan mengenai dakwaan itu yang dilaporkan sebuah akhbar hari ini.
KTMB berkata, fasiliti dan terminal kargonya sentiasa dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Kontena kargo yang dibawa ke Thailand adalah milik syarikat perkapalan yang disewa oleh pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand.
“KTMB tidak bertanggungjawab atas kandungan kontena berkenaan sama ada kontena kosong atau bermuatan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Mengulas mengenainya, setiap tren kargo yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang diteliti pihak berkuasa kedua-dua negara sempadan.
Katanya, proses itu membabitkan pemeriksaan dokumentasi dan fizikal ke atas gerabak serta barangan.
“Bagaimanapun, KTMB akan menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara itu,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro mendedahkan, bagaimana penyamaran didakwa dilakukan usahawan kosmetik itu yang mengenakan purdah dan niqab serta membayar RM20,000 kepada seorang lelaki untuk diseludup keluar dari Malaysia.
Lelaki terbabit dilaporkan berjaya menyeludup keluar Nur Sajat menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar, sebelum diserahkan kepada lelaki lain sebaik mereka tiba di Hat Yai, Thailand.
Nur Sajat kemudian dibawa lelaki kedua itu ke Bangkok dan menjadikan sebuah kondominium mewah di kota raya itu sebagai pusat persembunyian sehinggalah dia ditahan.
Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, dilaporkan ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.
Dia ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen jam 6 petang (waktu Thailand). – Malaysiapost
