JAWATANKUASA Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) sepakat menjalin kerjasama bagi menggerak usaha, pendekatan serta memberikan paradigma baharu dalam memerangi rasuah dengan pertemuan sulung kedua-dua badan tersebut hari ini.
Susulan pertemuan di pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara itu, JKMR dan LPPR bersetuju memperhalusi cadangan untuk meletakkan hal ehwal anti rasuah di bawah Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Menerusi kenyataan hari ini, perincian teknikal berhubung cadangan itu sedang dilaksanakan oleh penasihat undang-undang serta panel jawatankuasa Parlimen.
“Pada masa sama, JKMR dan LPPR memandang serius isu penarikan balik kes-kes rasuah melibatkan individu tertentu sebelum perbicaraan bermula dan juga semasa perbicaraan sedang berlangsung.
“Ini kerana ia menjejaskan imej, kredibiliti
serta integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahu penjelasan tegas diberikan pihak bertanggungjawab,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi JKMR, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Pengerusinya LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Menurut kenyataan itu, pertemuan tersebut turut menzahirkan perhatian serius berhubung beberapa situasi terutamanya melibatkan kes-kes rasuah yang mengambil masa terlalu lama, iaitu ada yang melebihi tempoh setahun untuk diputuskan Mahkamah Rayuan.
Dalam hal itu, katanya ia merupakan antara tugasan yang bakal diberi perhatian oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen agar kepercayaan orang ramai tidak luntur.
Selain itu, selaku badan dilantik Yang di-Pertuan Agong menerusi Seksyen 13 dan 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694), JKMR dan LPPR melahirkan kebimbangan teramat sangat mengenai dakwaan pembabitan pegawai kanan SPRM berhubung aktiviti salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM 25 juta (AS$6juta).
“Justeru, JKMR dan LPPR mendesak siasatan terperinci dibuat segera dan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan dakwaan tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin agar keyakinan rakyat kepada SPRM kekal utuh,” katanya.
Terdahulu tular satu laporan di sebuah blog mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu.
Individu terbabit dikatakan pernah disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018 dan wang tunai berkenaan didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.
Penulis blog berkenaan mendakwa individu terbabit membuat laporan polis, namun polis tidak berani menjalankan siasatan, sebaliknya membiarkan SPRM menjalankan siasatan dalaman.
Susulan itu, SPRM hari ini mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan. – Malaysiapost

