Peragut dilanggar suami mangsa

0
1

PERBUATAN seorang lelaki meragut beg tangan wanita dibalas serta-merta apabila dia dilanggar suami mangsa di Kampung Binjai di Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun baru saja turun dari bas ekspres dan menunggu dijemput suaminya di tepi jalan persimpangan Kedai Piah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata secara tiba-tiba muncul seorang lelaki menunggang motosikal meragut beg tangan mangsa.

“Suami mangsa yang kebetulan tiba di tempat kejadian, melanggar motosikal suspek dengan kereta dipandunya namun lelaki itu cuba melarikan diri.

“Berlaku pergelutan antara suspek dan suami mangsa namun lelaki itu berjaya ditahan dengan bantuan dua orang awam yang melalui tempat kejadian,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Abdul Rahim berkata, wanita itu tidak cedera dan suaminya luka di telinga kiri akibat pergelutan, manakala suspek yang berusia 29 tahun luka di tangan serta lutut dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Katanya, pemeriksaan ke atas beg pinggang milik suspek dari Pulai Chondong, Machang itu menemui satu paket lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah.

“Ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis Methampethamine dan memiliki 14 rekod bersabit dadah dan jenayah. Permohonan reman sedang dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here