PAKATAN Harapan (PH) akan menarik diri daripada memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai dengan kerajaan bila-bila masa, jika ia gagal direalisasikan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, terdapat klausa keluar daripada MoU itu jika kerajaan ingkar dan tidak mematuhi semua terma perjanjian berkenaan.
Wakil rakyat PKR itu berkata, pembangkang akan memantau pelaksanaan semua terma yang dipersetujui dalam MoU itu dalam tempoh 10 bulan yang dilihat cukup ntuk menjayakan hasrat tersebut.
“Jika perkara ini dibawa ke mahkamah kerana kerajaan gagal melaksanakan perkara yang dipersetujui, PH tidak boleh pun tuntut ganti rugi.
“Tetapi kesannya jika siapa mungkir janji akan berdepan kemarahan rakyat. Jika MoU tersebut berjaya, ini untuk manfaat rakyat keseluruhannya, bukan untuk manfaat Perdana Menteri,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.
Pada 13 September lalu, sejarah baharu politik tanah air terlakar apabila buat pertama kalinya Kerajaan Persekutuan dan gabungan pembangkang utama memeterai MoU bagi membentuk kerjasama dwipartisan.
Sementara itu, Hassan menyelar dakwaan bahawa PH hilang peranan semak dan imbang, malah tidak lagi lantang kerana dianggap menjadi “sebahagian” daripada kerajaan.
“Ini tidak betul. PH tetap meneruskan peranan semak dan imbang sebagai satu blok parti pembangkang terbesar di Parlimen. Menerusi usaha ini, kita dapat melaksanakan agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini.
“Antara agenda reformasi PH yang kerajaan setuju laksanakan dalam MoU itu adalah Rang Undang-undang Anti Lompat Parti dan Undi18. Kerajaan setuju kerana berada dalam keadaan lemah dan tidak mahu tumbang,” katanya. – Malaysiapost

