Parlimen: Polis siasat 307 kes berita palsu Covid-19 sejak Mac lalu

0
2

[PARLIMEN] KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah mengambil pelbagai langkah untuk membendung, mencegah dan menguatkuasakan undang-undang bagi mengatasi masalah berhubung berita palsu termasuk mengenai Covid-19. 

Menterinya Tan Sri Annuar Musa, berkata bagi tempoh Mac lalu hingga sekarang Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 307 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu mengenai Covid-19. 

Beliau berkata, semua kes disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan 163 daripadanya sudah diselesaikan, manakala 37 lagi dituduh di mahkamah dan 114 kes masih dalam peringkat siasatan. 

“Secara umumnya, penyebaran berita palsu berkaitan vaksin dan Covid-19 banyak berkurangan berbanding peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

“Ini hasil tahap kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap PICK, sekali gus menyaksikan penyebaran kandungan berita palsu tidak lagi berkesan,” katanya menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai berita palsu berkaitan Covid-19. 

Annuar berkata, kementeriannya percaya keprihatinan rakyat adalah perkara terpenting dan ia perlu dilaksanakan melalui program pendidikan dan kesedaran berterusan 

“Sebagai strategi mendidik masyarakat, pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melancarkan kempen ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’, kempen ‘Klik dengan bijak’ yang mendapat sambutan agak baik. 

“Kementerian melalui SKMM juga telah mengadakan program advokasi dengan pembabitan masyarakat,” katanya. 

Annuar berkata, kerjasama rapat berterusan dengan pihak penyedia khidmat media sosial seperti Twitter, Facebook dan Google turut diperkemaskan untuk mempertingkatkan peranan menangani berita palsu. 

“Untuk makluman satu Pasukan Respon Pantas terdiri pegawai-pegawai berkemahiran daripada SKMM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dibentuk. 

“Sepanjang 2020 sehingga sekarang sebanyak 479 penafian berita-berita palsu telah dilaksanakan iaitu pada 2020 sebanyak 416 penafian dan tahun ini 63 penafian,” katanya. 

Beliau berkata, selain itu diwujudkan juga portal sebenar.my sebagai satu sumber untuk mendapatkan berita-berita yang lebih tepat dan sehingga kini portal berkenaan mendapat 186 juta layaran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here