Takiyuddin kata bencana takdir Allah, Anwar tanya mana kamu tahu?

0
1

[PARLIMEN] BENCANA kepala air di Gunung Jerai, Kedah bulan lalu berlaku kerana takdir Allah, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

“Apa yang kita amat dukacita berlaku satu bencana, ini act of God… takdir Allah SWT, iaitu berlakunya….,” katanya menjawab soalan lisan kedua Dewan Rakyat dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR- Port Dickson). 

Bagaimanapun belum sempat beliau menghabiskan jawapannya, Anwar bangun mencelah dan membidas Takiyuddin kerana menyalahkan Tuhan sedangkan bencana berlaku disebabkan kerakusan manusia. 

“Masalah alam semulajadi ini jangan nak salahkan Tuhan, kadang-kadang masalah manusia. Ini dulu pun begitu semasa mantan Menteri Kerja Raya bila ada sahaja perobohan tanah, act of God. 

“How do you know act of God bila manusia itu rakus merosakkan balak,” kata Presiden PKR itu. 

Terdahulu Anwar bertanya sejauh mana pemantauan kementerian terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan khususnya yang diwarta sebagai hutan simpan dan tindakan diambil terhadap kes-kes pelanggaran. 

Takiyuddin kemudian menjawab, dakwaan Anwar mengaitkan bencana itu dengan pembalakan tidak benar kerana Gunung Jerai diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan pada 23 November 2018. 

“Port Dickson kacau saya pagi ini. Pembalakan sebagaimana yang disebut Port Dickson ini bahawa Jerai ini adalah kawasan yang telah diisytiharkan sebagai National Geopark of Jerai pada 2018. 

“Atas status National Geopark aktiviti pembalakan memang tidak dijalankan di kawasan itu,” katanya. 

Takiyuddin menambah, kawasan tersebut tidak diberikan lesen untuk usaha hasil walaupun 25,000 hektar diluluskan sejak 2014 hingga 2019. 

“Hutan Simpan Kekal Ulu Muda ini tidak diluluskan untuk membalak. Saya lihat sendiri air itu membawa akar-akar pokok menunjukkan tiada aktiviti pembalakan di kawasan Jerai ini, inilah disebut takdir Allah. 

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan akan melaksanakan program restorasi kawasan hutan termasuk kawasan Jerai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here