Nur Sajat kini di Thailand, ditahan pihak berkuasa imigresen

0
1

USAHAWAN kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang menghilangkan diri sejak Februari lalu, dilaporkan telah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Penahanan Nur Sajat dilakukan pihak berkuasa negara jiran itu selepas mendapat maklumat mengenai lokasi persembunyiannya di Bangkok, daripada pihak berkuasa Malaysia, lapor Harian Metro.

Akhbar itu yang memetik sumber melaporkan, Nur Sajat, 36, ditahan ketika serbuan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita.

Menurut sumber itu, Nur Sajat kemudian dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen.

“Pada 9 September, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Dia bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) oleh seorang warga tempatan.

“Wang itu dibayar seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.

Sumber itu seterusnya memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok dan diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari.

Katanya, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.

“Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.

“Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro turut melaporkan Nur Sajat sedang memohon perlindungan dan kebenaran untuk berpindah ke Australia.

Sumber akhbar itu memberitahu ketika ditahan pihak berkuasa Thailand, Nur Sajat hanya menunjukkan salinan pasportnya kepada pegawai penyiasat melalui telefon bimbitnya.

“Semakan imigresen Thailand mendapati pasport Nur Sajat dibatalkan kerajaan Malaysia. Dia kemudian menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan adalah seorang pelarian.

“Hasil soal siasat, Nur Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia,” katanya.

Sumber sama memaklumkan, ibu pejabat UNHCR di Bangkok sudah menyediakan peguam untuk Nur Sajat dan dilaporkan bersedia membantunya mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.

Nur Sajat dikatakan memohon kad pelarian dan berpindah ke Australia dengan alasan mendakwa mendapat ugutan bunuh selepas mengumumkan keluar daripada Islam, selain diburu lebih 100 penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here