Pemandu lawan arus didakwa bunuh 2 remaja

0
1

LELAKI yang memandu secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan hingga menyebabkan kematian dua remaja 12 September lalu berdepan hukuman mati apabila didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

K Devaaswin, 24, mengangguk faham terhadap dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani ketika didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga pegawai pemasaran pengangkutan, lapor Harian Metro.

Dia dituduh menyebabkan kematian Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, pada jam 1.50 pagi, 12 September lalu di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang menghala Kuala Lumpur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili Peguam Pushpa Ratnam dan R Thanuja.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan semula dalam tempoh sebulan bagi menunggu laporan kimia, bedah siasat dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) serta lain-lain dokumen bagi tujuan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, dua remaja maut selepas Proton Wira Aeroback dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus.

Ujian air kencing ke atas tertuduh ketika itu didapati dia berada di bawah pengaruh dadah jenis ganja. – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here