Salah guna kuasa: SPRM sahkan tahan 3 pegawainya

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

SPRM menerusi kenyataan hari ini menegaskan ia tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

“Ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 hingga 19 September 2021.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular satu laporan di sebuah blog mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu.

Individu terbabit dikatakan pernah disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018 dan wang tunai berkenaan didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Penulis blog berkenaan mendakwa individu terbabit membuat laporan polis, namun polis tidak berani menjalankan siasatan, sebaliknya membiarkan SPRM menjalankan siasatan dalaman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here