STATISTIK menunjukkan trend jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di bawah 18 tahun di Malaysia agak membimbangkan dengan jumlah jangkitan dan kematian meningkat berbanding tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata terdapat peningkatan daripada 12,620 kes pada 2020 kepada 400,668 kes pada 2021 sehingga 16 September lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 252,569 kes adalah membabitkan murid sekolah dan 42,831 kes adalah kanak-kanak pra-sekolah.
“Sebanyak 62 kematian dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan pada 2021 sehingga 16 September lalu berbanding hanya enam kematian pada 2020.
“Maka Kementerian Kesihatan (KKM) setuju beri vaksin pada golongan remaja melalui Program Imunisasi Covid-19 (PICK) Remaja.
“Ini bukan hanya kerana vaksin ini selamat dan berkesan kepada remaja, tetapi juga kita khuatir peningkatan kes-kes dalam kalangan remaja,” katanya selepas Pelancaran PICK Remaja peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8 (1) Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, PICK Remaja sangat penting dan berharap ibu bapa atau penjaga dapat mengisi borang kebenaran pemberian vaksin Covid-19 bagi membolehkan remaja dilindungi vaksinasi.
“Kita harap borang kebenaran dapat di isi dengan baik oleh ibu bapa atau penjaga dan segala maklumat kesan sampingan vaksin disampaikan dengan jelas kepada penerima vaksin.
“Ini supaya mereka jelas dengan faedah yang akan diperoleh apabila divaksinasi dengan vaksin Pfizer,” katanya.
Khairy Jamaluddin berkata, hanya vaksin Pfizer sahaja akan diberikan untuk PICK Remaja dan ia sudah mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Borang kebenaran perlu ditandatangani oleh ibu bapa atau penjaga di hadapan doktor atau pemberi vaksin sebelum vaksinasi.
“Bagi yang tidak dapat menerima vaksin disebabkan faktor kesihatan, alahan dan sebagainya akan diberi pengecualian dengan pengesahan daripada doktor,” katanya. – Malaysiapost

