PICK Remaja dilaksanakaan di sekolah, PPV sedia ada – KJ

0
2

PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu di sekolah-sekolah yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara dan secara ‘walk-in’ di PPV sedia ada. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata pelaksanaan PICK Remaja di sekolah yang dijadikan PPV sementara adalah melalui program jangkau luar. 

Beliau berkata, pelaksanaan itu akan membabitkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jika tidak mencukupi akan melaksanakannya melalui pengamal perubatan swasta. 

“Pelaksanaan juga dilaksanakan melalui PPV sedia ada dan sedang beroperasi dimana remaja dibenarkan walk-in untuk mendapat vaksin. 

“Esok kita akan umumkan PPV berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Pelancaran PICK Remaja peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8 (1) Putrajaya, hari ini. 

Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga boleh memilih sama ada menunggu tarikh pemberian vaksin di sekolah atau ke mana-mana PPV yang akan diumumkan nanti. 

Khairy Jamaluddin berkata, PICK Remaja telah dimulakan lebih awal di Sarawak dan Sabah, namun mulai hari ini semua negeri yang mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi telah diberikan kebenaran untuk memulakannya. 

“Saya telah tubuhkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITFA) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. 

“Perkembangan program ini akan dibuat dari semasa ke samasa oleh beliau dan CITFA ini bertanggungjawab dalam penetapan dasar dan penyelarasan pelaksanaan pelan vaksinasi remaja dan juga dari segi tenaga kerja serta PPV yang akan digunakan bagi tujuan vaksinasi remaja ini,” katanya. – Malaysiapos

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here