MTEM gesa kerajaan tunda ratifikasi CPTPP

0
1

KERAJAAN digesa supaya menunda meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) demi kebaikan semua terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Abdul Halim Husin, berkata kerajaan mesti menerima hakikat bukan semua perniagaan akan menikmati faedah dicanangkan oleh mereka yang menyokong untuk menyegerakan CPTPP.

Menurutnya, perjanjian itu dilihat lebih mementingkan mereka yang terlibat dalam industri eksport tanpa menghiraukan kesan pada ekonomi tempatan khususnya perusahaan kecil sederhana (PKS) yang terlibat sektor perkhidmatan.

Beliau berkata, selain daripada eksport lambakan import barangan yang lebih murah akan menjahanamkan peluang PMKS untuk bangkit dan menjadikan negara kita negara pengguna semata mata.

“Perjanjian perdagangan yang kononnya bebas tetapi tidak adil ini akan memberi kesan pada pengeluar, PKS, petani, pesakit dan pengguna juga.

“Lebih aneh kerajaan ingin meratifikasikan CPTPP yang ditandatangani pada 2019, berdasarkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuktamadkan pada 2015, dimana 22 provisi ditangguh sementara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu sekaligus mengecilkan lagi ruang dan kemampuan kerajaan secara tetap, untuk melaksanakan apa apa perubahan dasar yang berkaitan dan yang diperlukan.

“Di manakah kedaulatan kita kalau kita terpaksa mengubah undang-undang untuk mengikuti telunjuk perjanjian perdagangan yang memiliki lebih 30 bahagian dan memberi kesan pada setiap aspek ekonomi negara.

“Bukankah ini akan menyukarkan lagi ruang kerajaan untuk melakukan intervensi untuk menyokong industri yang masih memerlukan perlindungan dan bantuan.

“Sebagaimana yang kita lihat hari ini, akibat pandemik Covid19, kerajaan mesti melakukan intervensi dengan tindakan dan langkah-langkah yang memberi kesan pada ekonomi negara,” katanya.

Menurut Abdul Halim, MTEM mengzahirkan kerisauan dan menyatakan Perjanjian CPTPP adalah ibarat menjual dan memperdagangkan negara sendiri kerana terpengaruh dengan janji tanpa bukti jelas ia akan menguntungkan negara.

“Tidak ada kajian yang menggambarkan negara akan berjaya meningkatkan kadar eksport dan ekonomi kita dan isi rumah kita akan mendapat keuntungan.

“Segala kebaikan CPTPP boleh dicapai dengan dengan perjanjian perdagangan bebas di antara dua negara dan perlu terhad pada barangan sahaja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here