Rakyat muak dengan gimik Peja – Abdul Aziz

0
1
aziz bari

TINDAKAN Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berhasrat memulangkan gaji dan elaun yang diterima sebagai Penasihat Khas ketika di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat hanya sebagai gimik semata-mata.

Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari, berpendapat rakyat sudah muak dengan pelbagai gimik bekas Menteri Besar Perak itu.

Beliau yang juga pakar Perlembagaan menyifatkan tindakan memulangkan gaji berkenaan tidak akan menghentikan pelbagai kritikan yang dilemparkan kepada beliau.

“Ahmad Faizal sepatutnya menolak pelantikan sebagai Penasihat Khas itu kerana pentadbiran berkenaan telah sedia diketahui terlalu besar, tidak perlu dan hanya menjadi beban kepada rakyat.

“Rakyat, khususnya di Perak belum lupa tindakan beliau semasa menjadi Menteri Besar Perak. Ini termasuk membeli kereta baru ketika terhimpit dan terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa, Timbalan Presiden Bersatu itu juga lari meninggalkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan mandat rakyat tergadai dan menuduh pihak lain mensabotaj pentadbiran kerajaan negeri pada ketika itu.

Abdul Aziz turut menasihatkan beliau supaya menumpukan kepada portfolio sekarang dan tidak membuang masa kepada perkara remeh.

“Adalah lebih baik Ahmad Faizal diam dan menumpukan masa memastikan portfolio beliau berjaya dari membuang masa melakukan hal-hal remeh seperti mempromosi mi kari yang tiada kena mengena dengan peranan beliau sebagai ahli parlimen dan anggota pentadbiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here