Warga emas, kumpulan berisiko diberi keutamaan dos ketiga vaksin Covid-19 – KJ

0
2

KUMPULAN rentan atau berisiko tinggi akan menjadi golongan pertama menerima dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 yang dijangka bermula Oktober ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata dasar pelaksanaannya seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Tetapi kita telah kenalpasti golongan rentan atau golongan berisiko tinggi yang akan mendapat keutamaan untuk mendapatkan dos berkenaan.

“Antaranya warga emas yang mempunyai komobiliti atau masalah penyakit kronik; petugas barisan hadapan yang mempunyai penyakit atau berisiko tinggi; mereka yang ada sistem imunisasi lemah; dan mereka yang berada atau bekerja di pusat jagaan warga emas.

“Mereka ini yang kita utamakan dahulu dan selepas itu kita akan buka kepada golongan lain,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Kedah, hari ini.

Menurutnya, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 dijangka dapat dilaksanakan pada awal Oktober ini untuk kumpulan pertama berkenaan.

“Ia sangat penting kerana daripada data mengenai kematian dan pesakit kategori lima yang masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kebanyakan terdiri daripada kumpulan ini.

“Namun ia tidak bermakna dua dos yang diambil sebelum ini tidak berkesan, banyak negara telah memulakan dos penggalak ini termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Singapura,” katanya.

Khairy berkata, ia adalah bagi meningkatkan lagi sistem imunisasi terhadap Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun masih belum membuat keputusan sama ada dos ketiga atau dos penggalak itu diperlukan oleh semua golongan kerana ia masih lagi dalam perbincangan oleh kumpulan pakar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here