Individu tidak divaksinasi, anti vaksin akan ‘diburu’ – KJ

0
1

KERAJAAN akan mempergiatkan lagi usaha mengesan individu yang masih belum menerima vaksinasi Covid-19 melalui program jangkau luar (outreach), susulan kehadiran penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara semakin berkurangan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata rata-rata PPV di seluruh negara kini semakin kosong dan keadaan yang berlaku ketika ini adalah lebih banyak vaksin daripada penerima.

“Kebanyakan kawasan kita sudah sampai tahap di mana lebih banyak vaksin daripada ‘lengan’ jadi tindakan kita sekarang ini, kita sudah tidak boleh sampai tahap 500,000 dos sehari kerana sudah berada pada penghujung.

“Sudah tiada orang lagi, cuma di kawasan-kawasan tertentu sebagai contoh di Kedah seperti di Sik, Pendang dan Baling ini betul-betul kita perlu outreach, pergi rumah ke rumah, periksa betul-betul dan kesan golongan tegar anti vaksin untuk diberikan fokus,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Kedah, hari ini.

Khairy berkata, di Kedah proses pemberian vaksin sebelum ini agak perlahan akibat bekalan vaksin yang kurang, tetapi sekarang sudah mencapai 83 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Tetapi ada negeri seperti Sabah yang dahulu ada masalah bekalan tetapi sekarang tidak lagi, namun ada masalah mungkin dari segi sudah tiada siapa yang ingin keluar ke PPV.

“Kita perlu menjejaki mereka, kita kena pergi dan cari mereka… kita sudah buat sebaik mungkin hantar janji temu vaksinasi namun sekarang sudah hampir kosong PPV dan kita kena cari mereka yang masih lagi degil untuk tidak menerima vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah meminta majikan di sektor-sektor tertentu untuk mengenakan syarat jika hendak kembali kerja mesti mendapatkan vaksinasi.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan bincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung apa tindakan yang boleh diambil kepada penjawat awam yang masih lagi enggan menerima vaksinasi

“Tindakan adalah untuk penjawat awam yang tidak vaksinasi disebabkan pilahan dan bukannya kerana faktor kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here