BINTANG bola sepak dunia, Lionel Messi dilapor menerima gaji dalam bentuk mata wang kripto bersama kelab baharu disertainya, Paris Saint Germain (PSG).
Menurut laporan L’Equipe, pendedahan itu berdasarkan butiran dalam kontrak Messi yang diberikan oleh PSG.
Ketua pasukan Argentina itu menerima gaji sebanyak 110 juta euro (RM538 juta) untuk tiga musim bersama kelab Perancis tersebut yang mana gaji mingguannya pula boleh mencecah sehingga 700,000 euro (RM3.4 juta).
Bagaimanapun, tidak semua gaji tahunannya dibayar dengan mata wang fiat, sebaliknya PSG akan membayar kira-kira satu juta euro (RM4.9 juta) dalam bentuk mata wang kripto.
Mata wang kripto yang digunakan PSG adalah token peminat. Token tersebut merupakan mata wang kripto milik kelab berkenaan.
Sama seperti Bitcoin dan mata wang kripto lain, token peminat turut boleh digunakan untuk melakukan transaksi digital.
Malah, kedatangan bekas bintang Barcelona itu ke PSG dikhabarkan telah meningkatkan harga jualan token peminat.
PSG dikatakan mampu mengaut keuntungan hampir 30 juta euro (RM146.7 juta) setahun hasil penjualan token peminat tersebut.
Bagaimanapun, impak Messi belum dapat dirasai penyokong PSG berikutan dalam dua penampilannya, dia belum mampu meledak sebarang gol setakat ini. – Malaysiapost

