Pesawah terkejut suntik vaksin dapat hadiah motosikal

0
2

SEORANG pesawah terkejut kerana tidak menyangka akan menerima ‘habuan’ lumayan ketika menerima suntikan vaksin Covid-19, hari ini.

Memang sudah tertulis rezeki bagi Mohd Isham Md Isa, 44, yang menjadi penerima vaksin Covid-19 ke 49,400 di daerah Padang Terap untuk menerima hadiah sebuah motosikal.

Motosikal itu adalah sumbangan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menyifatkan hadiah itu ibarat bulan jatuh ke riba, Mohd Isham berkata, dia amat berterima kasih atas pemberian tersebut memandangkan motosikal miliknya sekarang yang dibeli secara terpakai sejak lima tahun lalu, sudah ‘uzur’.

“Sejak beberapa tahun lalu, memang saya mengumpul wang untuk membeli motosikal baharu tetapi tak sangka pula dapat rezeki sebegini, hari ini.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Seri Mahdzir. Motosikal lama itu akan tetap saya gunakan untuk ke sawah manakala yang baharu ini akan saya gunakan untuk pergerakan yang memerlukan perjalanan agak jauh seperti mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) 2 di Alor Setar,” katanya.

Mohd Isham yang masih bujang ditemui pemberita selepas menerima hadiah motosikal tersebut daripada Mahdzir di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang, hari ini.

Sementara itu Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda meraikan kejayaan semua pihak dalam mencapai sasaran pemberian vaksin di daerah Padang Terap.

Katanya, angka 49,400 itu adalah jumlah penduduk berusia 18 tahun ke atas dalam Parlimen itu yang layak divaksin berdasarkan bancian pada 2010.

“Kita menghargai kehadiran rakyat di Padang Terap yang keluar beramai-ramai untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri masing-masing serta masyarakat sekeliling.

“Ini hasil kerjasama semua pihak yang berusaha keras menjayakan program ini termasuk menjalankan program pandu lalu serta ‘outreach’ di kawasan kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir memaklumkan, lebih 2,000 pelajar Tingkatan Empat dan Lima akan menerima suntikan vaksin di daerah itu bermula esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here