
SEKUMPULAN pengetua madrasah atau mudir, ibu bapa pelajar dan para ustaz telah menubuhkan kumpulan bergelar ‘Tawaqquf Vaksin’ bagi menyatakan pendirian untuk tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 buat masa ini.
Di samping itu, mereka mengharap hak untuk terus beroperasi dan menyampaikan ilmu dibenarkan oleh pihak berkuasa.
Jurucakap Kumpulan Tawaqquf Vaksin, Ustaz Abu Syafiq juga menyatakan kumpulan itu bukanlah anti vaksin, bahkan mereka pernah divaksin sebelum ini.
Namun katanya, untuk mengambil suntikan Vaksin Covid-19 kali ini mereka membuat pendirian ‘Tawaqquf’ (hold/nanti dulu/belum lagi) atas beberapa alasan antaranya kebimbangan berlaku kemudaratan terhadap diri sendiri sekali gus memberi kesan kepada keluarga.
Beliau berkata, kumpulan tersebut turut menyatakan mereka tiada masaalah dengan pihak dan ibu bapa yang membuat keputusan sebaliknya.
“Perkara ini dari segi hukum adalah harus maka ia pilihan bagi setiap individu untuk mengambil vaksin atau tawaqquf dahulu.
“Amalan atau tindakan mendiskriminasi pihak yang Tawaqquf untuk mengambl vaksin juga bertentangan dengan ajaran Islam. Sepertimana kita tidak bersetuju untuk mendiskriminasikan pihak yang mengambil vaksin maka begitu juga sebaliknya,” katanya menerusi kenyataan.
Abu Syafiq berkata, kumpulan itu juga mengharap pihak berkuasa menilai isu vaksin ini dengan hati terbuka mendengar keluhan bawahan masyarakat setempat yang merupakan nadi negara. – Malaysiapost
