Kerajaan setuju laksana pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 – PM

0
1
Petugas KKM menunjuk cara menyuntik jarum ke botol vaksin AstraZaneca di PWTC.

KERAJAAN bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 sebagai usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan wabak berkenaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Perdana Menteri berkata, keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu. 

Katanya, ia seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities). 

“Ia akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus. 

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini. 

“Kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan Covid-19 dan pemberian dos ketiga vaksin akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here