BN beri calon Makkal Sakti tanding PRU15 – Zahid

0
2

BARISAN Nasional (BN) bersetuju memberikan tempat kepada calon-calon daripada parti Makkal Sakti untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah berbincang dengan kepimpinan dalam BN mengenai perkara itu dan bersetuju memberi tempat sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, pada pandangannya rakyat sudah mula berasa yakin dan semakin mengenali parti itu serta selesa dengan kehadiran mereka terutama ketika pilihan raya sebelum ini.

“Pada hemat saya Makkal Sakti semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan inilah kriteria dibawa oleh BN yang dapat dihadamkan oleh Makkal Sakti

“Keserasiannya bersama BN juga tidak dapat dinafikan dan dengan hampir 115,000 ahli memang wajar parti ini dikenali,” katanya ketika berucap secara maya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Makkal Sakti kali ke-13, hari ini.

Menurutnya, sejak penubuhannya pada 2009, Makkal Sakti tidak pernah meluahkan rasa tidak puas hati kepada BN, malah terus bersama di dalam keadaan apa sekalipun.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, BN telah memenangi kerusi itu dengan cemerlang hasil kempen dan kerjasama diberikan semua parti komponen BN termasuk kesungguhan Makkal Sakti yang membantu calon BN.

“Makkal Sakti adalah antara rakan BN yang paling setia dan di dalam menyusun strategi BN bagi menghadapi PRU15 kita perlu gabungan kesetiaan ini dengan kerja keras sesama kita,” katanya.

Beliau berkata, BN adalah tunjang perjuangan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak yang diperlukan untuk membina semula kekuatan BN.

“Sejarah hitam PRU14 perlu kita jadikan panduan dan iktibar. Kita harus bangkit semula dan ini adalah matlamat kita.

“Sebarang masalah dalaman parti baik di pihak Umno atau parti-parti komponen termasuklah Makkal Sakti hendaklah kita selesaikan menjelang PRU15 yang akan datang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sememangnya BN merasa dikhianati apabila terdapat Ahli-ahli Parlimennya melompat parti kerana kuasa, wang ringgit dan ketakutan terhadap pertuduhan di mahkamah bagi mengelakkan menjadi ‘kluster mahkamah’.

“Tetapi kehadiran dan sokongan padu Makkal Sakti bersama BN mampu melonjakkan semula kita semua sebagai sebuah parti komponen yang akan berdiri gagah semula.

“Biarpun ada cadangan bagi menggubal Akta Lompat Parti, kita tidak harus alpa dan bersiap siaga dari sekarang dengan mengikat kesetiaan sesama ahli-ahli dan kepimpinan parti serta bakal-bakal calon yang akan kita kemukakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here