Faizal mahu pulangkan gaji RM27,000 sebagai penasihat

0
1

TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan mahu memulangkan keseluruhan RM27,000 gaji diterimanya sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri selama 11 hari. 

Beliau yang kini memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan berkata, wang tersebut akan disumbangkan kepada Tabung Covid-19, lapor Mingguan Malaysia hari ini. 

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, beliau tidak berkecil hati atau marah kepada pihak yang mempersoalkan pendapatannya itu, malah memaafkan sesiapa saja yang mengecamnya. 

“Saya mahu memulangkan keseluruhan RM27,000 itu kepada tabung Covid-19. Minta maaf, kepada semua yang mengata saya itu, saya ampunkan. Andai saya tersilap cakap, saya mohon ampun,” katanya. 

Pada 14 September lalu, media melaporkan, walaupun hanya 11 hari bertugas sebagai penasihat bertaraf menteri kepada Perdana Menteri terdahulu, Ahmad Faizal layak menerima bayaran secara pro rata dan gaji penuh sebulan berjumlah RM27,227.20. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembayaran gaji penuh itu adalah gantian notis penamatan perkhidmatan berikutan tempoh perkhidmatan Faizal yang singkat dan tidak cukup sebulan. 

Ismail Sabri berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen selepas Ahli Parlimen Kepong (DAP), Lim Lip Eng meminta beliau menyatakan jumlah gaji diterima Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Penasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Ogos lalu.  

Pada 5 Ogos lalu, Faizal dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Muhyiddin dengan jawatan bertaraf menteri sebelum Perdana Menteri itu meletak jawatan pada 16 Ogos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here