Kerajaan teliti kemungkinan ubahsuai tanpa kebenaran punca tanah runtuh

0
2

KERAJAAN sedang meneliti sama ada kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights di Ampang, malam kelmarin, berpunca akibat pengubahsuaian tanpa kebenaran oleh penduduk. 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tinjauan beliau pagi tadi mendapati ada antara lot kediaman melakukan pengubahsuaian berlebihan, lapor Berita Harian. 

“Untuk peringkat awal kita masih menunggu laporan keputusan penuh daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang menjalankan kajian dan siasatan mengenai struktur tanah di kawasan ini. 

“Namun saya tidak dapat mengesahkan sama ada punca kejadian ini adakah daripada pengubahsuaian tanpa kebenaran atau faktor lain sehinggalah keputusan kajian dan siasatan oleh JMG selesai,” katanya kepada media selepas meninjau kawasan tanah runtuh hari ini. 

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata berdasarkan pemerhatian beliau, terdapat pembinaan yang mungkin melanggar peraturan ditetapkan. 

“Tapi kita faham atas keperluan mungkin mempunyai keluarga besar (pembinaan tambahan dan pengubahsuaian dijalankan), satu kediaman (di lokasi kejadian) dikatakan mempunyai lima keluarga tinggal di situ. Apa pun perlu ikut peraturan,” katanya. 

Beliau berkata pengubahsuaian yang dilakukan oleh mana-mana pemilik kediaman harus mengikuti spesifikasi ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Dalam hal ini setiap pembinaan rumah dan pengubahsuaian haruslah mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang bertanggungjawab memberikan kebenaran serta memantau sebarang kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian. 

“Ini penting terutama membabitkan kediaman di kawasan lereng bukit,” katanya. 

Kejadian tanah runtuh itu dipercayai berpunca akibat hujan lebat selama kira-kira sejam yang menjejaskan 27 rumah di Kemensah Heights, malam kelmarin.   

Susulan kejadian itu, seramai 103 penduduk daripada 32 keluarga yang terjejas sudah diarahkan berpindah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here