SEMUA tadika swasta dan pusat perkembangan minda kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun di negeri Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah dibenarkan beroperasi semula sejak 17 September.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyatana menjelaskan berhubung terdapat kekeliruan berkaitan pengoperasian tadika swasta dan pusat perkembangan minda di negeri-negeri terlibat.
“KPM ingin menjelaskan bahawa semua tadika swasta, tadika di sekolah swasta, tadika di sekolah antarabangsa dan tadika di sekolah ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi murid berumur empat hingga enam tahun di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 telah dibenarkan beroperasi mulai 17 September 2021 untuk anak-anak yang ibu bapa atau penjaga bekerja.
“Pengoperasian ini tertakluk kepada kapasiti bilik darjah dengan penjarakan fizikal yang ditetapkan. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” kata KPM menerusi kenyataan hari ini.
Minggu lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam sidang media pengoperasian sekolah memaklumkan murid prasekolah dan tadika swasta yang berada di negeri Fasa 3 akan memulakan sesi persekolahan bermula 3 Oktober ini. – Malaysiapost

