Perlis buka sepenuhnya masjid dengan SOP pengimarahan diperketat

0
3

SEMUA masjid di Perlis dibenarkan dibuka sepenuhnya bermula solat Subuh Rabu ini, namun dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid yang diperketat. 

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah keputusan itu dibuat selepas baginda meneliti laporan perkembangan semasa penularan Covid-19 di Perlis oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis. 

Baginda bertitah, berdasarkan laporan terbabit kebanyakan kes Covid-19 di Perlis adalah membabitkan tahap satu dan dua, serta prestasi pemberian vaksin juga tinggi dan kadar peratusan vaksinasi penduduk yang baik. 

“Sayugia dihebahkan berkaitan pembukaan sepenuhnya semua masjid di Perlis dan pelaksanaan SOP pengimarahan diperketat berkuatkuasa waktu Subuh, 22 September 2021 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. 

“Sehubungan itu semua masjid dalam Mukim Kuala Perlis dan Mukim Sanglang turut dibuka dan arahan pengimarahan secara terhad dibatalkan,” titahnya. 

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs, bertitah sebagai langkah kawalan dan penyelarasan, surau atau tempat solat umum lain masih ditutup melainkan mendapat kebenaran khas MAIPs atau Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs). 

Baginda bertitah, melalui arahan pematuhan yang ketat hanya ahli kariah yang telah menerima suntikan vaksin lengkap dibenarkan hadir ke masjid. 

“Kecuali bagi petugas, adalah dilarang keluar kariah untuk menunaikan solat atau mengimarahkan masjid di kariah lain. 

“Mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan tidak dibenarkan hadir ke masjid dalam tempoh dua minggu dari tarikh terakhir melakukan aktiviti itu. 

“Semua jemaah yang hadir di masjid perlu mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan,” titahnya. 

Baginda bertitah, selain solat fardu dan solat Jumaat, aktiviti lain yang turut dibenarkan adalah solat jenazah, kuliah agama, ceramah, akad nikah dan jamuan makan dengan cara mengedar makanan yang siap dibungkus. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here