PENYANYI Zizi Kirana sah bergelar isteri kepada pelakon, Yusuf Bahrin menerusi majlis pernikahan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) di ibu negara hari ini.
Pemilik nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 36, selamat dinikahkan dengan Yusuf, 29, dengan sekali lagi kira-kira jam 10.40 pagi tadi di Masjid Usamah Bin Zaid di Wangsa Maju.
MStar melaporkan, Zizi yang mengenakan persalinan hitam menerima mas kahwin senaskhah al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, namun wang hantaran tidak didedahkan.
“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar, kalau nak tahu Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah.
“Semuanya dilakukan saat akhir. Syukur pernikahan kami dipermudahkan, doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal ke Jannah,” kata Zizi yang bersedia menerima zuriat dalam masa terdekat.
Menurut penyanyi lagu Eh itu, mereka merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Sabah serta kampung Yusuf di Melaka hujung tahun ini.
Pasangan itu mula berkenalan ketika rakaman program All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini sebelum mula berkawan rapat selepas Aidilfitri lalu. – Malaysiapost

