JUMLAH kumulatif pemberian dos vaksin Covid-19 setakat semalam adalah 39,923,416 dos membabitkan 21,861,904 individu mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan 18,135,561 individu lengkap vaksinasi.
Berdasarkan data dan infografik dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba di laman Twitternya, jumlah dos vaksin yang diberikan semalam adalah 238,002 dos.
Daripada jumlah itu, 75,986 individu mendapat satu daripada vaksin dua dos dan 162,016 mendapat dos lengkap.
Sehingga semalam, 77.5 peratus daripada populasi dewasa negara sudah lengkap divaksinasi, manakala 92.9 peratus sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi.
Bagi peratusan populasi keseluruhan negara pula yang sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos adalah 66.9 peratus dan 55.5 peratus lengkap vaksinasi.
Lembah Klang kini merekodkan peratusan populasi dewasa lengkap vaksinasi tertinggi iaitu 105.6 peratus, diikuti Labuan dengan 97.7 peratus, manakala Negeri Sembilan 92.3 peratus.
Dua lagi negeri mencatatkan peratusan tinggi dalam populasi dewasa lengkap vaksinasi adalah Sarawak dengan 89.1 peratus dan Perlis 82.6 peratus.
Melaka kini merekodkan 75.9 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi, manakala Terengganu 75.6 peratus dan Pulau Pinang mencatat 73.1 peratus.
Peratusan populasi dewasa lengkap vaksinasi bagi negeri lain pula adalah Johor (67.1 peratus), Pahang (59.9 peratus), Kedah (59.6 peratus), Perak (59 peratus) dan Kelantan (55.9 peratus).
Sabah merekodkan peratusan populasi dewasa lengkap vaksinasi paling rendah iaitu hanya 53.7 peratus setakat semalam. – Malaysiapost

