HUJAN lebat selama kira-kira sejam menjadi antara faktor menyebabkan insiden tanah runtuh yang menjejaskan 27 rumah di Kemensah Heights, Ampang, malam tadi.
Keadaan itu mengakibatkan berlakunya pergerakan tanah di belakang sebuah banglo menyebabkan struktur bangunan turut menggelongsor.
Tanah yang runtuh itu kemudian menyebabkan aliran anak sungai tersekat seterusnya mengakibatkan aliran air bertukar ke kawasan perumahan berhampiran dan menyebabkan air bertakung.
Berdasarkan infografik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, maklumat mengenai kejadian diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang pada jam 9.32 malam.
Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan keseluruhan 27 rumah iaitu tiga banglo dan 24 townhouse terjejas serta berisiko rosak.
Rumah banglo pertama yang dilanda tanah runtuh berkenaan mengalami kerosakan paling teruk membabitkan 20 peratus struktur bangunan termasuk kolam renang dan rumah ‘playhouse’ dengan jarak gelongsoran tanah sejauh 10 meter.
Pergerakan tanah dikesan berlaku secara perlahan-lahan akibat dari keadaan tanah yang tidak kukuh dan lembab.
Dilaporkan masih terdapat risiko berlakunya runtuh susulan sekiranya keadaan cuaca hujan berterusan di kawasan yang sama.
Seramai 16 pegawai dan anggota JBPM serta 67 pegawai dan anggota dari lain-lain agensi terbabit dalam operasi kejadian tanah runtuh berkenaan.
Pihak bomba menjalankan Kawalan keselamatan dan kententeraman awam di kawasan kejadian termasuk penamatan tapak serta tinjauan udara menggunakan dron. – Malaysiapost

