FAM gantung 3 pemain, pegawai Sarawak United

0
3

TIGA pemain serta dua pegawai pasukan Sarawak United FC digantung serta dikenakan denda kerana tiada semangat kesukanan serta cuba menyerang pengadil ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu tiga pemain yang menerima hukuman ialah penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli; Mohammad Amer Saidin dan Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli.

Mohd Sharbinee berdepan tiga pertuduhan iaitu sengaja menerjah dengan kuat bahagian dada pemain lawan, menolak dada pengadil setelah dilayangkan kad merah dan menumbuk papan penggantian yang sedang diangkat oleh pegawai keempat.

Bagi kesemua kesalahan itu, dia digantung lima perlawanan dan denda RM7,000. Mohammad Amer pula didapati meluru ke arah pengadil dan dua penolong pengadil sebaik tamat perlawanan secara agresif dan menolak dada pengadil menyebabkan dia digantung dua perlawanan dan denda RM2,000.

Mohd Badrul Affendy digantung empat perlawanan dan denda RM4,000 atas dua pertuduhan iaitu meluru ke arah pengadil serta penolong pengadil selain menolak dada pengadil perlawanan.

Sementara itu, pegawai Sarawak United FC, Abang Fomay Abang Sa’adeli dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 kerana cuba menyerang dan mencederakan pengadil.

Seorang lagi pegawai pasukan, Rudy Bujang digantung enam bulan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak berkuatkuasa 17 September 2021 sehingga 16 Mac 2022 dan didenda RM10,000.

Dalam pada itu, jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan digantung 12 bulan daripada terlibat sebarang aktiviti bola sepak dan didenda RM10,000 kerana membuat kenyataan selepas perlawanan berhubung isu melibatkan FAM tanpa kebenaran yang boleh memberi impak negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM, selain mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan).

“Bagaimanapun jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana hukuman penggantungan ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan.

“Jika kesalahan sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penangguhan, maka hukuman penggantungan 12 bulan tersebut akan dikuat kuasakan serta-merta terhadap beliau,” kata Baljit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here