VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berpendapat kesilapan memilih kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kini ditanggung oleh rakyat keseluruhan serta negara dan kesannya dirasai lebih awal dari kesan wabak Covid-19.
Beliau beranggapan, pada PRU14 pengundi memilih ‘kuasa’ dari ‘khidmat’ iaitu tidak mahu kepada khidmat wakil rakyat, tetapi sebaliknya hanya mahu Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada ketika itu.
Menurutnya, kuasa dan kedudukan harus dibezakan kerana kedudukan dengan pelbagai kesenangan dan keistimewaan boleh membuat seseorang ahli politik lupa daratan dan terbina juga pemisah antara pemilik kedudukan itu dengan orang biasa.
Beliau memberi contoh calon PRU14 di Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang buat kali pertama bertanding dan menang kedua-dua kawasan berkenaan.
“Mereka dipilih pengundi tanpa perlu membuktikan rekod perkhidmatan mereka kepada pengundi kawasan tersebut.
“Sebaliknya, saya ditolak oleh pengundi Johor Bahru walaupun saya berani berkata rekod perkhidmatan saya selaku tidak tercalar oleh penyalahgunaan kuasa mahu pun terdorong oleh kepentingan diri.
“Kerana sebab itu, saya menganggap pengundi pada PRU14 tidak mahu kepada khidmat wakil rakyat. Mereka mahukan PH berkuasa dan sedia menolak rekod khidmat Barisan Nasional (BN), bagaimana baik sekali pun,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurutnya, kini pandemik Covid-19 menegaskan kembali mengenai semangat kemasyarakatan yang menjadi teras politik khidmat. “Kuasa semasa pandemik tidak meredakan wabak jangkitan virus itu.
Khidmat, sebaliknya, mampu menentukan penyampaian bantuan kepada mereka yang terkesan dari wabak virus itu.
“Pada PRU14, pengundi memilih ‘kuasa’ dari ‘khidmat’ dan kesan dari pilihan itu ditanggung oleh rakyat keseluruhan dan negara sendiri. Kesannya lebih awal dari kesan wabak Covid-19.
“Kini, soal yang sama bakal dihadapi oleh pemilih pada PRU15,” katanya. – Malaysiapost

