Syarat tempoh vaksinasi pekerja asing demi keselamatan semua – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

TEMPOH empat bulan bagi pekerja asing mendapatkan vaksinasi lengkap Covid-19 dan dihantar pulang jika gagal menepati syarat itu adalah munasabah dalam usaha mengawal penularan wabak berkenaan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata cadangannya itu termasuk mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap majikan yang mengupah pekerja belum divaksin adalah demi menjaga keselamatan semua pihak.

Menurutnya, bagaimanapun terdapat kumpulan aktivis yang kurang senang dengan cadangan itu dan mendakwanya sengaja menjadikan pekerja asing sebagai mangsa.

“Aktivis kata saya sengaja mangsakan pekerja asing. “Manakala Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berpendapat bahawa cadangan saya munasabah sebab majikan ada tanggungjawab bawah undang-undang untuk memastikan keselamatan kesihatan pekerja-pekerja mereka.

“Di bawah undang-undang juga, Malaysia ada hak menetapkan syarat bagi warga asing yang ingin kerja di Malaysia termasuk memastikan mereka telah divaksin dengan dua dos,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, aktivis yang kurang senang hati perlu faham Covid-19 tidak memilih pekerja asing atau warga Malaysia untuk berjangkit.

“Selagi Covid-19 menular dalam mana-mana komuniti, Malaysia juga tidak akan selamat.

Aktivis perlu faham cadangan saya ialah untuk menjaga keselamatan semua pihak iaitu pekerja asing, majikan dan masyarakat umum Malaysia,” katanya.

Najib dalam Dewan Rakyat baru-baru ini menyatakan pekerja warga asing perlu diberi masa empat bulan untuk mendapatkan vaksin atau berdepan tindakan, termasuk dihantar pulang ke negara asal.

Beliau turut mencadangkan hukuman penjara kepada mereka yang terus mengambil pekerja warga asing tidak divaksin selepas tempoh empat bulan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here