Diplomasi kebudayaan elemen penting tingkatkan ‘soft power’

0
2

DIPLOMASI kebudayaan antara elemen penting dalam enam fokus utama dibangkitkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini, bagi meningkatkan ‘soft power’ Malaysia di mata dunia.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, diplomasi kebudayaan boleh difahami sebagai penggunaan dan pertukaran idea, tradisi serta pemikiran antara negara bangsa.

“Ia boleh dijelmakan dalam bentuk pertukaran delegasi antara negara, aktiviti kebudayaan, percambahan idea dan lain-lain lagi yang boleh memperkenalkan cara hidup kita kepada dunia.

“Lagipun, negara kita mempunyai banyak perkara yang boleh dikongsi dengan dunia, termasuk cara kita menguruskan kepelbagaian kaum dan agama, kekayaan adat resam, kejayaan pembangunan ekonomi dan usaha pemulihan daripada kesan wabak Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan negara perlu menggunakan waktu Covid-19 ini untuk merancang program diplomasi kebudayaan yang tersusun, terarah dan disertakan dengan peruntukan mencukupi.

“Apabila SOP membenarkan sempadan antarabangsa dibuka semula nanti, alangkah baik jika kita ada program yang boleh menyaingi program diplomasi budaya yang terkenal seperti Fulbright Fellowship (Amerika Syarikat) dan Chevening (United Kingdom).

“Jika disusun dengan baik dan berstrategi, serta dirancang dari sekarang untuk dimasukkan sebagai salah satu agenda Belanjawan 2022, saya percaya kita boleh lakukannya,” katanya.

Pada 3 September lalu, Saifuddin memaklumkan enam topik utama dibincangkan dalam mesyuarat pertama Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (CCFP).

Katanya, berdasarkan kepada perkembangan semasa, Wisma Putra sebelum ini juga melihat pendekatan dan fokus baharu yang ingin diketengahkan sebagai memperkasa peranan dasar luar Malaysia.

Antaranya topik utama itu adalah diplomasi kesihatan, diplomasi ekonomi, keselamatan siber, dan pembangunan mampan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here