5,691 kematian dilapor bulan ini, lebih 3,000 kematian tertunggak

0
1
Skuad Jenazah covid-19 mengangkat jenazah covid-19 ke dalam kubur di Tanah Perkuburan Batu 5 Jalan Ipoh.

MALAYSIA mencatatkan 2,575 kes kematian sebenar mengikut tarikh (actual death) sepanjang 1 hingga 16 September 2021, berbanding 5,691 kes kematian keseluruhan yang dilaporkan.

Ini bermakna sepanjang tempoh sama, 3,115 kematian yang dilaporkan adalah melibatkan kes kematian tertunggak atau backlog.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman web Covid Now, jumlah kematian sebenar mengikut tarikh menunjukkan penurunan ketara, manakala kematian tertunggak pula semakin meningkat.

Angka terendah kematian sebenar mengikut tarikh ialah semalam iaitu cuma satu kematian, kelmarin pula dengan 19 kematian serta 71 kematian dicatatkan pada 14 September.

Antara 1 hingga 13 September jumlah kematian sebenar mengikut tarikh konsisten melebihi 100 setiap hari dengan bilangan tertinggi direkodkan pada 1 September iaitu 246 kes.

Pada masa sama, jumlah kematian keseluruhan dilaporkan (kematian sebenar dan tertunggak) yang tertinggi pada 11 September iaitu 592 kes dan terendah pada 2 September iaitu 249.

Baru-baru ini, KKM menjelaskan ia memerlukan masa untuk mendapatkan angka kematian tepat bagi kes Covid-19 kerana ia penting untuk analisis keberkesanan vaksin, penentuan kadar kematian dan sebagainya.

Menurut KKM, maklumat itu bagaimanapun mengambil masa lama kerana setiap kes kematian akibat Covid-19 perlu melalui proses bedah siasat dan audit klinikal.

Jelas KKM lagi, antara akhir Julai hingga akhir Ogos, petugas kesihatan menanggung beban kerja yang tinggi terutama di Lembah Klang dan ini menyebabkan siasatan klinikal tertangguh sekali gus lewat dilaporkan.

Ini bermakna, terdapat kes kematian akibat Covid-19 yang telah berlaku beberapa minggu tetapi hanya dilaporkan kemudian kerana hasil siasatan dan laporan audit baru sahaja diperolehi. – Malaysiapost

Jumlah kematian kes Covid-19 di Malaysia antara 1 hingga 16 September 2021

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here