Rentas negeri ke Genting Highlands, 12 dikompaun RM5,000 setiap seorang

0
2

SERAMAI 12 individu dikompaun RM5,000 seorang kerana merentas negeri tanpa surat kebenaran polis menerusi operasi pemantauan di Kilometer 17, laluan menghala ke Genting Highlands semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata kompaun dikeluarkan menerusi pemantauan Ops Covid-19 oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

Beliau berkata, mereka yang dikompaun terdiri 10 lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 58 tahun.

“Kesemua mereka gagal mengemukakan permit kebenaran rentas negeri yang sah daripada polis.

“Mereka datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Genting Highlands,” katanya dalam satu kenyataan hari ini..

Zaiham berkata, kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (NO 2) 2021.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang masih gagal dan mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here