SETIAP pelancong ke Langkawi wajib menjalani ujian pengesanan Covid-19 19 (Rt-PCR atau RTK-AG) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan arahan kerajaan yang memutuskan untuk mewajibkan mereka yang akan bercuti ke Langkawi agar berbuat demikian.
Justeru, katanya, keputusan ujian tersebut hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas ke pulau berkenaan.
“Selain itu, pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di tempat saringan disediakan.
“Atau pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, KKM telah membuat persiapan di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 termasuk Lapangan terbang Subang untuk tujuan berkenaan bagi pelancong yang akan ke Langkawi.
“Semoga kita semua selamat dan sentiasa patuh kepada SOP semasa bercuti. Kita jaga Kita. Selamat Menyambut Hari Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

