Umno perlu kembalikan 100 peratus hak Sabah dalam MA63 – Anifah

0
1

UMNO perlu memastikan janji untuk mengembalikan hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikotakan setelah parti itu kini berkuasa kembali, tuntut Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya, tiada sebab hal itu dilengah-lengahkan atau diberi pelbagai alasan memandangkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah membuat janji tersebut, malah menyatakan bahawa apa pun kekangan yang timbul akan diatasi.

“Presiden Umno telah berjanji kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan MA63 100 peratus. Tiada lagi sebab untuk melengah-lengahkan atau memberi pelbagai alasan memandangkan parti itu sudah kembali berkuasa.

“Dari dulu sehingga kini saya amat menghormati Ahmad Zahid dan percaya beliau pemimpin yang sentiasa mengotakan janji,” katanya menerusi kenyataan sempena Hari Malaysia.

Ahmad Zahid ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Kimanis tahun lalu dilaporkan berjanji jika kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi Umno diberi mandat berkuasa semula, ia akan “melaksanakan MA63 100 peratus.”

Umno kini kembali ke tampuk pimpinan kerajaan setelah Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dilantik Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Anifah yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, bagi pihak rakyat Sabah, beliau menuntut janji itu daripada Perdana Menteri dan Presiden Umno.

“Saya ulangi, 100 peratus. 0.1 peratus kurang pun kita tidak akan terima,” tegasnya.

Anifah juga menuntut kerajaan Pusat tidak lagi menubuhkan jawatankuasa yang dipertanggungjawapkan untuk mengkaji hal berkaitan MA63 sebaliknya mahu melihat sama ada Ahmad Zahid dan Umno memiliki integriti untuk memenuhi janji tersebut.

“Kita tidak perlukan lagi jawatankuasa ditubuhkan. Ketika saya dalam kerajaan, perkara ini sudah sampai ke peringkat Kabinet pun. Lagipun, sekarang kami di Sabah perasan asal tukar kerajaan, sebuah jawatankuasa baru ditubuhkan untuk kaji MA63,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here