
AHLI Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub, merasakan Parlimen perlu satu Jawatankuasa Khas untuk melihat kembali secara serius tentang mana-mana kelemahan yang wujud dalam Perlembagaan Negara.
Timbalan Presiden Amanah itu, berkata dalam tempoh tidak sampai satu penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlaku beberapa detik penting di tanah air khususnya pertukaran tiga Perdana Menteri.
Menurutnya,banyak adegan yang begitu dramatik yang pada pemikiran beliau memerlukan kepada Perlembagaan Negara dilihat semula.
“Selepas 65 tahun negara merdeka, saya rasa kita telah punya ramai pakar seperti bekas-bekas hakim dan ada nama-nama besar dalam bidang perundangan yang mampu menjadi pasukan mengkaji secara holistik tentang kebaikan dan kelemahan Perlembagaan Negara yang ada pada hari ini.
“Contohnya adakah masih relevan perkataan seperti ‘dengan nasihat daripada Perdana Menteri terhadap Yang di-Pertuan Agong’,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, negara turut menyaksikan peristiwa membabitkan penggunaan akuan bersumpah (SD) untuk menubuhkan kerajaan.
“Adakah masih lagi relevan di mana kita melihat peristiwa yang berlaku penggunaan SD yang dulu dianggap sangat berharga dan penting tetapi kini sudah menjadi semacam sampah yang tiada nilai.
“Selepas puluhan tahun negara merdeka, saya rasa Parlimen perlu ada satu Jawatankuasa Khas untuk kita melihat kembali secara serius tentang mana-mana kelemahan yang wujud dalam Perlembagaan,” katanya.
Salahuddin berpendapat, bukanlah sesuatu yang berdosa atau memalukan untuk meminda Perlembagaan Negara kerana sejak merdeka telah berlaku 22 kali pindaan Perlembagaan.
“Ini membuktikan bahawa Perlembagaan adalah tidak statik atau beku dan ia dinamik yang perlu dipinda serta dilihat semula,” katanya. – Malaysiapost
