Kerajaan umum kelonggaran SOP baharu

0
2

MESYUARAT Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran baharu prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pelbagai sektor dan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara kelonggaran baharu yang dibenarkan adalah pengoperasian Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat di bawah sektor sosial atau pendidikan di negeri Fasa 2 PPN.

Menurutnya, bagi sektor sama di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 PPN pula, tabika; taska; tadika; pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda juga dibenarkan beroperasi bagi anak-anak yang ibu bapanya bekerja dengan operator atau pekerja perlu lengkap vaksinasi.

“Kelonggaran baharu bagi sektor rekreasi di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 PPN pula membenarkan aktiviti kolam memancing dalam tempoh PPN dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap.

“Sektor ini dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 8 malam di daerah sama bagi Fasa 1, manakala 6 pagi hingga 10 malam di negeri yang sama bagi Fasa 2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kelonggaran baharu bagi sektor sosial di negeri Fasa 2 dan Fasa 3 PPN pula membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal bagi fasiliti sukan dan rekreasi terbuka serta tertutup kepada individu lengkap vaksin.

“Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain juga dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan tersebut dan terhad bagi individu yang telah lengkap vaksin sahaja.

“Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya secara berkumpulan di kawasan atau premis yang sama dengan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang yang lengkap divaksin juga dibenarkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kelonggaran baharu bagi sektor sosial di setiap Fasa PPN yang dibenarkan adalah membabitkan aktiviti ziarah kubur Islam dengan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri, manakala ziarah kubur selain Islam juga perlu mengikut ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

“Selain itu, kapal persiaran juga dibenarkan dibuka dengan 50 peratus kapasiti dan semua anak kapal serta penumpang mesti lengkap divaksin,” katanya.

Beliau turut mengumumkan beberapa kelonggaran bagi sektor pembekalan mineral dan bahan batuan termasuk pasir serta perladangan berasaskan kayu dan kenaf.

Sementara itu, pelbagai jenis perniagaan yang sebelum ini tidak dibenarkan kini kembali boleh beroperasi dengan syarat vaksin yang telah ditetapkan antaranya adalah kedai perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, nurseri dan banyak lagi.

“Kelonggaran baharu bagi sektor pekerjaan atau ekonomi di negeri Fasa 2 PPN sahaja pula semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja sekiranya 40 peratus pekerja telah lengkap vaksin.

“Kapasiti 80 peratus pekerja sekiranya 60 peratus pekerja telah lengkap vaksin dan kapasiti 100 peratus pekerja sekiranya 80 peratus pekerja telah lengkap vaksin,” katanya yang turut memaklumkan kebenaran beroperasi bagi kilang perabot.

Katanya, kelonggaran baharu bagi sektor pekerjaan atau ekonomi di negeri Fasa 2 dan 3 PPN sahaja adalah membabitkan aktiviti sektor pengurusan perhutanan, merangkumi pembalakan, hasil hutan bukan kayu, perladangan dan pembangunan hutan.

“Bagi kelonggaran baharu sektor pekerjaan atau ekonomi di Fasa 2,3,4 PPN, mesyuarat secara bersemuka sahaja dibenarkan kepada individu yang telah lengkap vaksin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here