80% remaja dijangka terima dos lengkap sebelum sesi persekolahan 2022

0
2
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

PASUKAN Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) menyasarkan 60 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang- kurangnya satu dos vaksin menjelang November ini.

Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, selain itu CITF-A menjangkakan 80 peratus remaja bakal mendapat dos lengkap vaksin sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Menurut kenyataan itu, CITF-A ditugaskan untuk membuat penetapan dasar dan menyelaraskan pelaksanaan pelan vaksinasi remaja.

“CITF-A akan memastikan sasaran ini dapat dicapai dan kerjasama daripada semua agensi diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, CITF-A berkata, keutamaan akan diberikan kepada remaja berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam serta mempunyai komorbiditi (menghidap lebih daripada dua penyakit).

Jawatankuasa itu berkata, program berkenaan juga menyasarkan pelajar di sektor pendidikan swasta, institusi perlindungan dan pemulihan serta remaja dalam komuniti terpinggir seperti gelandangan, pelarian dan bukan warganegara.

Menurutnya, sebagai langkah awal KKM sudah membangunkan portal pendaftaran institusi, iaitu Portal Vaksin-Anak-Ku.

“Semua sekolah, institusi pendidikan, perlindungan dan pemulihan kerajaan dan swasta dimohon mendaftarkan institusi masing-masing di portal tersebut.

“Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga remaja disaran mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera.

“Proses ini bagi membolehkan remaja mendapatkan sijil vaksinasi digital MySejahtera masing-masing.” katanya.

Menurut kenyataan itu, vaksin Comirnaty (keluaran Pfizer Bio-NTech) akan digunakan untuk program ini dengan setiap remaja diberikan dua dos.

Katanya, proses vaksinasi akan dilakukan melalui tiga kaedah, iaitu jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual.

“Pendekatan kedua khusus untuk remaja dengan komorbiditi, dengan mereka mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.

“Kaedah terakhir bagi remaja yang tidak dapat hadir bersama ibu bapa atau penjaga, mereka akan diberikan janji temu di klinik kesihatan swasta berdekatan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, jawatankuasa itu menjelaskan, keanggotaannya adalah terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pendidikan, JAKIM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan Jabatan Penjara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here