TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah mendapat laporan berhubung kes pencemaran bahan kimia di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas daripada pihak berkuasa.
Baginda bertitah, berdasarkan laporan daripada Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah berjaya mengenal pasti premis yang dipercayai membuang sisa bahan kimia berkenaan.
“Saya sudah terima laporan daripada Ketua Polis negeri Johor. Pihak Polis dan JAS telah berjaya mengenal pasti premis yang membuang sisa toksik tersebut.
“Sepuluh suspek telah ditangkap termasuk pemilik premis. Polis dan JAS akan lancarkan operasi tangkapan susulan,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Terdahulu, dua penduduk Kampung Baru Sri Aman, dilaporkan pengsan, manakala lebih 100 penduduk lagi dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia dari sungai berhampiran kampung berkenaan, semalam.
Dalam kejadian 10.30 malam itu, dua wanita masing-masing berusia 20 dan 40 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Susulan insiden terbabit, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru. – Malaysiapost

