PH masih lagi pembangkang – Anwar

0
2

[Parlimen] MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), bukan bermakna pembangkang akan bersetuju atau menyokong semua usul dibuat kerajaan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan dalam MoU berkenaan peranan pembangkang dalam kerajaan adalah tidak berubah.

“Ada kekeliruan yang dihebahkan. Dalam MoU ini tidak berlaku usaha mengabsahkan dan memberi jaminan kepada kerajaan yang ada serta menyokong Belanjawan.

“Ini yang saya ingin jelaskan dalam dokumen (MoU) ini kita tidak ada pengakuan untuk menyokong kalau ada usul percaya.

“Sebab PH usulkan dari awal usul percaya secara terbuka dalam pertemuan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dengan ketua-ketua lapan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, penegasan mengenai undi percaya itu turut disebut Timbalan Yang di-Pertuan Agong bahawa ia harus menjadi tajuk pertama sebelum Parlimen diadakan dan semuanya bersetuju dan tiada yang membantah.

“Namun, kita tidak mahu isu itu terkait hingga membatalkan usaha kerjasama dalam perkara utama termasuk Covid-19 dan ekonomi

“Sebab itu saya sebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun kita tidak setuju dengan keputusan untuk tidak meneruskan undi percaya, tetapi tetap akan berikan kerjasama berbincang soal MoU,” katanya.

Beliau turut menjawab kekeliruan yang dibangkitkan oleh Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mengenai kononnya pembangkang setuju semua apa yang dibuat oleh kerajaan sekarang seolah-olah sudah tidak jadi pembangkang.

Menurutnya, sebahagian besar input dalam MoU berkenaan adalah daripada pihak pembangkang dan perkara itu berlaku kerana sikap positif Perdana Menteri, serta titah nasihat daripada Raja-Raja Melayu tentang pentadbiran yang stabil.

“Ada juga yang menganggap dengan MoU ini, PH wajib menyokong Belanjawan 2022. Dalam MoU ini disebut kita boleh mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi Belanjawan 2022 selepas proses penggubalan Rang Undang-Undang terbabit dirundingi dan dipersetujui.

“Ini maknanya tanggungjawab menteri dan pembangkang mengambil sikap terbuka bersedia duduk berunding dan ia juga membabitkan usul lain yang perlu dirundingi dan dipersetujui terlebih dahulu,” katanya.

Anwar turut menjelaskan MoU yang dimeterai semalam berbeza dengan yang dicadangkan Muhyiddin yang menuntut PH menyokong dan mengabsahkan kerajaan ketika itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here