[Parlimen] PAKATAN Harapan (PH) sudah mengemukakan mengenai pendapat tidak bersetuju dengan pelantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang, berkata pihaknya mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya sebaiknya diambil tokoh baharu dari pihak kerajaan.
“Semestinya dari kerajaan, kita tak cadangkan dari pembangkang atau ambil yang ada pengalaman dan mampu mengendalikan MPN.
“Janganlah ambil yang sama dan mengharapkan cadangan baharu yang boleh menyelesaikan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta pandangan berhubung lantikan Ahli Parlimen Pagoh sebagai Pengerusi MPN yang baharu oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) yang melihat lantikan itu tidak sesuai.
Mukhriz meminta pandangan sama ada Muhyiddin sesuai memimpin MPN selepas rekodnya sebagai Perdana Menteri yang mempunyai kuasa penuh ketika pelaksanaan darurat namun dilihat gagal menangani Covid-19. – Malaysiapost

