Persefahaman kestabilan politik bantu fokus perangi Covid-19 – Hishammuddin

0
2

MEMORANDUM Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) termeterai hari ini diharap dapat mengurangkan suhu politik negara.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata persefahaman itu membolehkan kerajaan dan pembangkang menumpukan usaha memerangi pandemik Covid-19.

“Harapan saya di sebalik Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani bukan sahaja menurunkan suhu politik dalam negara.

“Tetapi lebih penting, kita dapat melihat kestabilan dalam landskap politik. Kestabilan ini bukan untuk kuasa, tetapi supaya semua pihak dapat fokus terhadap usaha ke arah matlamat membawa negara keluar daripada belenggu pandemik Covid-19,” katanya di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan dan PH hari ini telah melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU berkenaan yang berlangsung di Parlimen.

Ia meliputi enam perkara iaitu:

Pemerkasaan Pelan Covid-19
Transformasi Pentadbiran
Pembaharuan Parlimen
Kebebasan Institusi Kehakiman
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
Pembentukan Jawatankuasa Pemandu

Hishammuddin turut menjunjung kasih titah Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu keselamatan dan kedaulatan negara dikawal sebaiknya.

Jelasnya, antara langkah sudah diambil Kementerian Pertahanan adalah dengan membina 21 pos kawalan baharu bagi memperkasakan pemantauan di sempadan.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here