VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad berkata negeri juga bole menggubal undang-undang ‘Pecat Wakil Rakyat Negeri’ atau ‘Recall Elections State Level’.
Beliau berkata, undang-undang berkenaan jelas, memberi kuasa kepada pengundi untuk membuat keputusan sama ada mahu memecat atau tidak wakil rakyat terbabit.
“Negeri-negeri boleh juga gubal undang-undang ‘Pecat Wakil Rakyat Negeri’ atau ‘Recall Elections State Level’. Prinsip undang-undang ini jelas.
“Pengundi yang buat keputusan terhadap wakil rakyat mereka samada hendak pecat atau tidak,” katanya menerusi Facebook.
Shahrir berkata, kerusi yang dimenangi bukan hak peribadi wakil rakyat yang boleh didagangkan.
Sementara itu, Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru berkata, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said telah memberi taklimat mengenai Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli-Ahli Parlimen 2021 kepada kepimpinan negeri Johor.
Pada 2 September lalu, Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, menghantar notis cadangan usul ‘Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021’ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata, usul itu adalah selari dengan inisiatif anti lompat parti yang sedang diusahakan kerajaan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.
Berdasarkan salinan notis cadangan usul itu yang disertakan Azalina, akta berkenaan dinamakan ‘Akta Pemecatan Ahli Dewan Rakyat 2021’.
Selain itu, akta itu hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta. – Malaysiapost

