PN gesa pembangkang henti polemik undi percaya

0
2

PERIKATAN Nasional (PN) menggesa pembangkang menghentikan polemik undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebaliknya membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19 serta pemulihan ekonomi negara.

Shubungan itu, menerusi kenyataan bersama ketua-ketua penerangan parti PN, ia menyeru semua Ahli Parlimen memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi, penjagaan kesihatan rakyat, pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan serta usaha menangani Covid-19 dalam sidang Parlimen yang bermula hari ini.

“Kami mengambil pandangan bahawa berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pelantikan Perdana Menteri adalah kuasa yang di-Pertuan Agong dan Baginda Tuanku telah menjalankan amanah dengan penuh bijaksana.

“Maka apabila Baginda Tuanku berpuas hati dengan sokongan majoriti yang jelas kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, undi percaya tidak lagi diperlukan.

“Jadi, kami menggesa parti-parti pembangkang menghentikan sikap bermuka-muka dalam hal ini. Negara memerlukan kestabilan dan sebarang usaha untuk menggugat kestabilan pada waktu ini adalah tindakan yang bukan sahaja tidak kena masanya, malah tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad; Ketua Penerangan Parti Maju Sabah (SAPP), Chin Vui Kai; Ketua Penerangan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kumin dan Ketua Penerangan GERAKAN, Koo Shiaw Lee.

Sehubungan itu, menurut kenyataan bersama itu, sebagai jentera penerangan gabungan parti-parti dalam PN, mereka berikrar untuk terus membantu Ismail Sabri.

“Selain itu pucuk pimpinan semua parti menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat berkenaan dasar-dasar Kerajaan yang telah dan akan dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here