Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM selaras Perlembagaan Persekutuan

0
1

PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dibuat selepas mendapat sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, pelantikan itu dibuatnya selepas berpuas hati bahawa kepercayaan diberikan kepada Ahli Parlimen Bera itu adalah dengan kerelaan Ahli-Ahli Dewan Rakyat berkenaan sendiri serta tanpa sebarang paksaan.

Titahnya, jumlah itu adalah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.

“Pada 16 Ogos lalu, buat kali kedua dalam tempoh pemerintahan Beta, negara sekali lagi menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri.

“Seperti berlaku pada tahun 2020 lalu ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri kesembilan telah Beta laksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-14, 2021 hari ini.

Menurut Baginda, susulan itu dan selaras konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, Baginda memberi peluang kepada semua 220 Ahli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Menerusi surat-surat akuan tersebut, Beta mendapati seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera.

“Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 Ahli Dewan Rakyat, Beta berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta tanpa sebarang paksaan. Jumlah ini adalah merupakan majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.

“Justeru, selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Beta telah berkenan untuk melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan,” titahnya.

Terdahulu Baginda menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang getir.

Isu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri sebelum ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li.

Ku Li berpendapat, ia untuk membolehkan Perdana Menteri mentadbir tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak selepas ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here