Lelaki maut ditetak depan rumah

0
3

SEORANG lelaki maut dipercayai dipukul dan ditetak  dua lelaki di sebuah kediaman di Taman Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, Sepang, kelmarin.

Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia 25 hingga 33 tahun di Ladang Sepang pada jam 9.30 pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, insiden kira-kira jam 11.30 malam itu terjadi apabila isteri mangsa keluar ke hadapan rumah kerana hendak muntah.

“Semasa wanita berusia 37 tahun itu membuka pintu pagar, tiba-tiba datang sebuah kereta dinaiki empat atau lima lelaki yang berhenti di depan rumahnya.

“Dua lelaki kemudian keluar dari kereta berkenaan dan salah seorang suspek telah menetak suami pengadu berusia 45 tahun di belakang badan dan kepala.

“Seorang lagi suspek memukul kepala mangsa dengan topi keledar dan melarikan diri dengan kereta,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Kamarul Azran berkata, mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor ketika tiba di hospital berkenaan.

“Pemeriksaan pasukan forensik di lokasi kejadian menemui sebilah parang berhulu merah, topi keledar serta kesan darah di atas lantai.

“Bertindak atas maklumat, kenderaan yang digunakan suspek iaitu Proton Iswara merah dan Perodua Bezza putih telah ditemui di Ladang Sepang.

“Pemeriksaan kenderaan dilakukan pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di lokasi kejadian. Kedua-dua kenderaan itu dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas empat telefon bimbit.

“Semakan mendapati, tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here