PARLIMEN Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menyediakan beberapa prosedur operasi standard (SOP) khas bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang Parlimen yang bermula hari ini.
Antara lain ia bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 sepanjang persidangan yang berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober depan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara SOP perlu dipatuhi semua individu yang akan memasuki Bangunan Parlimen adalah mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap dan melebihi 14 hari dari tarikh dos terakhir.
Katanya, selain itu mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) tiga hari sebelum memasuki bangunan itu untuk kali pertama sahaja.
“Selain itu, sepanjang tempoh persidangan berlangsung, semua yang hadir ke Bangunan Parlimen perlu menjalani ujian kendiri pengesanan Covid-19 seperti ditetapkan oleh pihak Parlimen,” katanya menerusi kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata, KKM turut menasihatkan semua individu yang akan hadir ke Parlimen dikehendaki mematuhi SOP dan peraturan sedia ada bagi memastikan mesyuarat berjalan lancar, selamat serta penularan dapat dicegah di kawasan Parlimen.
Beliau berkata, seramai 26 daripada 1,801 individu yang menjalani ujian saringan Covid-19 di Bangunan Parlimen pada 10 dan 11 September lalu, dikenal pasti positif. Katanya, kes yang dilaporkan itu adalah hasil ujian RT-PCR yang melibatkan seorang senator dan 25 kakitangan Parlimen.
“Selain itu, terdapat dua Ahli Parlimen dikenal pasti positif hasil saringan di luar bangunan itu dalam tempoh sama.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu positif telah lengkap vaksinasi dan 15 daripada mereka adalah kes disahkan Covid-19 sebelum ini iaitu antara 27 Mei hingga 1 September 2021, manakala 13 individu pula baru sahaja dikesan positif pertama kali semasa saringan 10 sehingga 11 September.
“Dua kes mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi dengan nilai CT atau nilai kitaran ambang RT-PCR antara 17.57 sehingga 20.58, dan 26 kes dengan nilai CT di antara 21.95 sehingga 38.23,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata ujian PCR “genotyping assay” yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah Varian Delta dan satu berkemungkinan besar Varian Beta.
Katanya, bagi mengesahkan jenis varian itu, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah mula menjalankan penjujukan seluruh genom Covid-19. – Malaysiapost

